Pages

Sunday, 9 August 2015

KISAH USAHAWAN BERAS FAIZA



"SAYA ingin menjadi pembayar zakat terbesar di negara ini." Itulah azam, pemilik syarikat pemborong beras Syarikat Faiza Sdn. Bhd., Faiza Bawumi Sayed Ahmad ketika ditemui Kosmo! di Sri Gading, Batu Pahat, Johor.
Wanita kelahiran Mesir itu berhijrah ke Malaysia pada tahun 1964 kerana mengikut suaminya.
Ketika kebanyakan wanita seusianya berehat di rumah, Faiza, 58 dan nenek kepada 32 cucu sibuk merancang strategi bagi mengukuhkan kedudukannya dalam pelbagai cabang perniagaan di negara ini.
Faiza yang juga Pengarah Urusan Syarikat Faiza, sedang bertungkus-lumus mengeluarkan beberapa produk baru yang dijangka masuk ke pasaran selewat-lewatnya penghujung tahun ini.
Wanita yang berperwatakan lembut itu sebenarnya seorang yang tegas. Beliau mahu memastikan syarikat yang ditubuhkan sejak tahun 1992 itu berada di landasan betul sekali gus mencatatkan keuntungan saban tahun.
Berkecimpung dalam bidang perniagaan sejak kecil, Faiza pernah menjadi juruwang di kedai milik bapanya. Pengalaman tersebut mendorong beliau untuk bergiat secara serius dalam bidang perniagaan.
"Kejayaan ini tidak datang dengan mudah, saya bermula dengan mengambil upah menjahit sulaman dengan modal RM4 selain menjual pelbagai barangan dapur.
"Kemudian, saya beralih membuat rempah kari di bawah jenama Bunga Raya yang dilakukan di rumah dan mengedarkannya di kedai-kedai," katanya yang mampu menguasai bahasa Melayu setelah tiga bulan berada di Malaysia.
Ibu kepada tujuh anak itu menambah, modal daripada menjual rempah kari itu digunakan untuk membuka kedai runcit. Dari situ beliau mendapati pemborong beras kebanyakannya dibekalkan oleh kaum lain.
Dengan mempunyai kedai sendiri, beliau mula belajar mengenali pelbagai jenis beras. Sebelum menjual beras, beliau terpaksa pergi dari satu kedai ke kedai lain bagi mendapatkan maklum balas sama ada mereka akan membeli berasnya jika beliau menjualnya.
Atas respons yang positif, Faiza memohon lesen pemborong beras dan menjual pelbagai jenis beras termasuk ponni, basmathi, beras wangi serta beras Siam.
"Pada mulanya, saya buntu juga melihat satu lori treler penuh berisi beras diletakkan di hadapan rumah, namun saya nekad membungkus menggunakan jenama Bunga Raya dan menghantar ke kedai-kedai di seluruh Johor.
"Sehingga kini, perniagaan beras keluaran syarikat saya mendapat sambutan. Meskipun saingan sengit, kami telah dikenali kerana kualiti produk yang tinggi, seratus peratus buatan Islam dan halal," katanya yang kini mempunyai kilang di Kuala Lumpur, Kedah dan Terengganu.
Pada tahun 1998, beliau terdorong mempromosi beras ponni dari India yang dipercayai baik untuk kesihatan, khususnya bagi penghidap diabetes, obesiti dan darah tinggi.
Faiza berkata, bagi membuktikan kebaikan beras itu, syarikatnya telah meminta Universiti Putra Malaysia (UPM) membuat kajian dan hasilnya memang positif.
"Saya melabur berjuta ringgit bagi produk Taj Mahal dan telah meminta hak eksklusif daripada Bernas," tambahnya yang gembira dengan sambutan orang ramai terhadap produk tersebut.
Walaupun syarikatnya menumpukan produk beras dan rempah, kini beliau sedang meneroka bidang baru termasuk memasarkan bihun, sos cili dan kicap.
Beliau yang mempunyai 200 pekerja tetap dan lebih 300 pekerja kontrak berkata, dengan penglibatan dalam penghasilan produk tersebut ia memberi pilihan kepada orang Islam untuk mendapatkan produk yang bermutu tinggi dan tanpa diragui status halalnya.
Ketika ini, syarikatnya telah memasarkan bubur herba penghujung tahun lalu dan mendapat permintaan yang baik daripada para pelanggan.
Bagi produk bihun pula, syarikatnya telah menempah mesin dari China dan produk itu akan diproses di sebuah kilang lain juga di Sri Gading.
Kilang tersebut mampu mengeluarkan sebanyak sembilan tan bihun sehari, namun pada peringkat awal cuma memproses lima tan bihun dengan sasaran jualan sebanyak RM12 juta bagi tahun pertama.
FAIZA BAWUMI


Kehidupan
Faizah yang suka hidup bermasyarakat berkata, semua usaha yang dilakukan itu bukanlah untuk mengumpulkan kekayaan sebaliknya untuk menjadi pembayar zakat terbesar di Malaysia sekali gus membantu lebih ramai orang yang susah.
Sebab itulah, syarikatnya bekerjasama dengan TV3 selaku penaja utama sejak lapan tahun lalu menerusi program Bersamamu.
Dari segi kehidupan berkeluarga, Faizah menerapkan pendekatan supaya anak-anaknya hidup berdikari. Sejak kecil anak-anaknya dilatih menjual dan mereka mendapat upah.
Bagaimanapun katanya, pendidikan menjadi keutamaan dan mereka diberi peluang menuntut ilmu setinggi mungkin.
"Bukan semua anak saya terlibat dalam perniagaan, anak sulung dan kelima menjadi pensyarah dan lima yang lain membantu Syarikat Faiza," katanya.
Bercerita tentang pengalaman menguruskan perniagaan tersebut, beliau pernah menangkap pekerja yang menipu dan mencuri.
"Macam-macam cara orang hendak menipu dan saya pernah menangkap pekerja yang menjual guni beras yang dimasukkan ke dalam lori. Guni beras ini harganya mahal di pasaran," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0607&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm#ixzz3iOF4sqnW 
 

SISWAZAH TERNAK LINTAH

BANGSAL panjang yang menempatkan kolam ternakan lintah yang diusahakan oleh Muhammad Shahrul Ikmar Mustapha dan rakannya, Sulaiman Syah Ab. Rahman di Padang Temu, Melaka.




MELAKA 10 Mei - Bidang pertanian bukanlah satu kerjaya yang glamor namun ia tetap menjadi pilihan dua mahasiswa yang melihatnya sebagai satu cabang pendapatan lumayan sekiranya dikomersialkan.

Bagi mereka, bidang ternakan lintah yang dianggap baru di Malaysia dilihat mempunyai prospek yang cukup besar sebagai satu rawatan alternatif yang mula mendapat permintaan ramai.
Atas kesedaran peluang itu, dua sahabat lulusan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Multimedia, Bukit Beruang di sini, Sulaiman Shah Ab. Rahman, 25, dan Muhammad Shahrul Ikmar Mustapha, 24, mula menceburi bidang itu sejak awal tahun lalu.
Sulaiman yang memegang ijazah Kejuruteraan Komputer dan Shahrul, ijazah Pengurusan Teknologi Maklumat, kelulusan yang digenggam itu bukanlah bermakna mereka harus melupakan terus bidang pertanian.
Dengan sedikit pengetahuan dan pengalaman yang dimiliki, dua sahabat ini nekad membuat pelaburan sebanyak RM80,000 menubuhkan syarikat MNS Marketing and Management pada awal tahun lalu.
Sulaiman yang merupakan Ketua Eksekutif syarikat tersebut berkata, mereka memilih untuk menceburkan diri dalam penternakan lintah kerana melihat bidang itu masih baru di negara dan berpotensi untuk pergi lebih jauh.
''Alhamdulillah, setelah kira-kira empat bulan menjalankan perniagaan ini, kami mempunyai 23 kolam lintah yang diusahakan di Taman Padang Temu Indah, Padang Temu, Melaka.
''Hasilnya, kami mampu memperoleh pendapatan bersih kira-kira RM5,000 hingga RM6,000 sebulan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambahnya, hasil kerja kerasnya itu juga, mereka telah berjaya membuka sebuah pusat rawatan kesihatan yang dikenali D'Winz Healthcare di Taman Senggarang, Batu Pahat, Johor.
Jelasnya lagi, syarikat juga telah berjaya membekalkan produk-produk berasaskan lintah keluarannya ke seluruh pasaran tempatan termasuk Brunei.
''Kami juga membekalkan lintah untuk tujuan rawatan bekam termasuk menganjurkan kursus lintah seperti ternakan, produk lintah dan juga rawatan bekam," katanya.
Sulaiman berkata, masa depan ternakan lintah amat cerah kerana ia sering dijadikan bahan untuk produk perubatan dan kesihatan kecantikan.
''Lintah mendapat permintaan yang tinggi kerana ia boleh merawat penyakit kronik seperi sakit jantung melalui enzim yang dinamakan hirudin yang dikeluarkan oleh haiwan ini,'' katanya.
Tambahnya, di pasaran tempatan, lintah menerima permintaan yang tinggi dengan harganya dikatakan antara RM1.50 hingga RM3 seekor.
''Berbanding di luar negara seperti di United Kingdom contohnya, harga seekor lintah mencapai sehingga RM53.
''Ia mungkin kerana permintaannya yang tinggi untuk kegunaan dalam bidang perubatan mereka," katanya.
Atas kesedaran nilai pasaran yang tinggi itu, menurut Sulaiman, syarikatnya juga telah mengadakan usahasama dengan sebuah syarikat lain untuk mengembangkan lagi perniagaanya.
Melalui usahasama itu, syarikatnya juga merupakan pemilik bersama 210 lagi kolam lintah di seluruh negara termasuk 50 buah kolam di Pontian, Johor, Batu Pahat (50) Seremban (30), Bukit Merah, Perak (40) dan Terengganu sebanyak 40 buah kolam.
''Jika dikira secara keseluruhannya, kami mempunyai stok lintah melebihi 100 juta ekor di 233 kolam ternakan lintah,'' katanya.
Menurut Sulaiman, dengan keupayaan yang ada, mereka merancang untuk mengeksport lintah ke luar negara memandangkan pasarannya yang lebih tinggi di sana.


Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0511&pub=utusan_malaysia&sec=Selatan&pg=ws_01.htm&arc=hive#ixzz3iO0OGbrw 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

KISAH EMPAYER JERUK MADU PAK ALI

Mungkin ramai yang tahu Jeruk Madu Pak Ali berasal dari Penang, tapi pastinya ramai antara kita yang tidak tahu lagi asal-usul penubuhannya. Perusahaan Jeruk Madu Pak Ali dijalankan sejak tahun 1985 secara kecil-kecilan di rumah, diasaskan oleh Hj. Ali Omar. Mula dikomersialkan pada tahun 2007, di bawah syarikat Kunci Kreatif, bermula dengan modal RM15,000 kini mempunyai modal pusingan lebih RM300,000. Selain itu, Jeruk Madu Pak Ali merupakan satu-satunya kilang jeruk bumiputera yang menghasilkan jeruk secara komersial. Produk (jeruk) dibawah bimbingan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Kementerian Pertanian (MOA), Jabatan Pertanian, FAMA dan MARA. Jeruk yang dihasilkan memerlukan buah-buahan yang dipajak terus dari ladang-ladang seperti ladang mempelam sala di Perlis. Hasil komersial jeruk seperti mangga kuning, mangga sala, mangga air, kedondong hijau, kendondong kuning, betik, jambu batu,  salak madu,  pala penang, pala sagat, cermai, kabung, kelubi, anggur, dan  sengkuang mampu menjana ekonomi penduduk setempat. Terdapat lebih 30 jenis jeruk basah dan 50 jeruk kering. Juga terdapat produk-produk untuk membuat acar buah.
Dari segi pembuatannya, kini telah dipertingkatkan lagi dengan beberapa pembaikan di dalam proses pengeluaran. Ini adalah bagi menjamin kawalan kualiti produk dapat dibuat sepenuhnya walaupun terdapat peningkatan didalam aktiviti pengeluaran, sejajar dengan peningkatan permintaan dari pelanggan. Pembungkusan produk kini dibuat didalam bilik berhawa dingin. Pekerja yang terlibat juga memakai penutup mulut dan sarung tangan semasa proses pembungkusan dijalankan. Larutan gula dibuat dengan menggunakan air yang ditapis, di didihkan dan disejukkan ke suhu 70 darjah celcius sebelum ianya digunakan. Kandungan gula disukat dengan menggunakan mesin Agato Digital Refractometer. Selain itu, semua pekerja dari setiap bahagian akan melalui “Bilik Persalinan Pekerja” terlebih dahulu setiap kali sebelum memulakan tugas. Di bilik ini pekerja akan memukarkan pakaian biasa kepada uniform pekerja iaitu dengan memakai kasut, apron, baju dan tudung kepala yang disediakan. Pekerja juga akan membasuh tangan (7 Langkah Mencuci) dengan sempurna setiap kali sebelum masuk dan keluar dari tempat bertugas. Satu Manual Operasi dan “Standard Operating Procedure” juga disediakan untuk digunakan pekerja dan memudahkan kerja-kerja operasi pengeluaran.
Turut dipertingkatkan ialah proses pencucian garam dari buah-buahan yang telah dipotong. Bagi memastikan proses pencucian dapat dijalankan dengan berkesan, buah-buahan tersebut dimasukkan kedalam tong pencucian yang dilabelkan. Pencucian dengan menggunakan air bersih (dari Jabatan Bekalan Air)  yang ditapis dialkukan beberapa kali sehingga rasa garam tersebut hilang. Ukuran kandungan garam ini  di periksa dengan menggunakan alat sukatan Agato Master Alpha Refractometer. Pelanggan-pelanggan juga dapat menyaksikan sendiri aktiviti pemprosesan jeruk dari galeri yang disediakan. Ini termasuklah aktiviti pemotongan buah, pembersihan dan pembungkusan jeruk. Bagi memudahkan pelanggan pihak Pak Ali Food Industries turut menyediakan satu ruang khas untuk sesi taklimat atau penerangan kepada pelanggan yang datang secara berkumpulan. Juga disediakan ialah sebuah surau (berasingan untuk lelaki dan wanita) dan juga tandas yang selesa. Ruangan tempat letak kereta yang luas juga kini terdapat disini, semuanya untuk kemudahan pelanggan-pelanggan.
Keistimewaan Jeruk Madu Pak Ali pertama sekali ialah Jeruk Madu Pak Ali menggunakan gula pasir (tiada ibu gula) seperti kebiasaan pengusaha lain. Dan ia ada tambahan madu lebah asli sebagai citarasa unik yang menjadikan ia Jeruk Madu. Jeruk yang dihasilkan menggunakan cuka epal yang memang baik untuk kesihatan dan kecantikan. Paling ketara ialah sesiapa yang makan Jeruk Madu Pak Ali tidak akan batuk dan tidak sakit tekak seperti kebiasaan kita makan jeruk lain yang ada di pasaran. Selalunya saya akan basuh jeruk bila beli tetapi apabila beli Jeruk Madu Pak Ali, saya tidak perlu berbuat demikian. Selain itu, air jeruk juga boleh diminum. Jeruk juga boleh bertahan selama empat bulan maksimum. Satu-satunya perusahaan jeruk di Pulau Pinang yang ada sijil halal JAKIM.
Pak Ali juga membuka ruang dan peluang perniagaan kepada peruncit dan pengedar. Beliau mengamalkan konsep jualan terus kepada pelanggan, “cuba dulu baru beli”. Pengedar/peniaga/peruncit amat dialu-alukan, modal dalam lingkungan RM500 (40kg jeruk), keuntungan di antara 40%- 50%.  Terdapat lebih 30 produk (jeruk) basah dan kering. Pengedar/peniaga juga diberi kebebasan untuk menentukan kaedah/cara jualan, dan sekiranya ia melibatkan sewa tapak di sesebuah premis perniagaan maka sewa tersebut adalah dibawah tanggungjawab pengedar/peniaga itu sendiri. Jeruk Madu Pak Ali juga mempunyai  potensi pasaran yang besar di Lembah Klang, Selatan dan Pantai Timur, produk suci, bersih dan halal.
Kini, Jeruk Madu Pak Ali telah mendapat liputan yang meluas dari pihak media cetak dan turut mendapat sambutan di luar negara seperti Korea. Jeruk Madu Pak Ali mempunyai peminatnya tersendiri. Walaupun, jeruk ini boleh didapati dia serata Malaysia tetapi ada juga yang sanggup ke Penang semata-mata untuk membeli jeruk. Oleh kerana, rasa jeruk keluaran beliau yang mempunyai keunikan tersendiri, rasa manis buah-buahannya amat ketara sekali kerana citarasa keterampilannya amat berbeza sekali. Rasa sekali pasti nak lagi, cuba lah tanpa was-was. Selain itu, Jeruk Madu Pak Ali turut mengeluarkan Kuah Rojak Pak Ali. Selepas Pak Ali meninggal pada 2013 akibat strok yang turut membataskan pergerakkan beliau dan legasi perniagaannya kini diuruskan oleh anaknya, Alias Ali.
sumber :http://www.usahawan.com 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...